Zaman Pembaharuan (abad ke-15–16) Sejarah_Itali

Penciptaan Adam oleh Michelangelo.

Wabak Maut Hitam sekitar tahun 1348 meninggalkan kesan di Itali dengan meragut nyawa satu pertiga penduduknya.[11] Bagaimanapun, rantau Itali bangkit juga daripada malapetaka Maut Hitam dan menyaksikan kebangkitan semula kota-kota, kegiatan perdagangan dan ekonomi yang banyak mendorong pergerakan Humanisme dan Zaman Pembaharuan yang terkenal sekali kerana pencapaian kebudayaannya. Kisah kesusasteraan Zaman Pembaharuan biasanya bermula dengan Petrarch (yang dikenang kerana jujukan soneta vernakular yang diperhalusi dengan rapi dalam Canzoniere serta memulakan kegilaan mengumpul buku) dan rakan sebayanya,Boccaccio (pengarang Decameron). Antara pemuisi-pemuisi vernakular terkenal pada abad ke-15 termasuk pengarang-pengarang epik Luigi Pulci (Morgante), Matteo Maria Boiardo(Orlando Innamorato), dan Ludovico Ariosto (Orlando Furioso). Pengarang abad ke-15 seperti pemuisi Poliziano dan ahli falsafah Platonis, Marsilio Ficino menjayakan terjemahan yang menyeluruh daripada sumber-sumber berbahasa Latin dan Yunani. Pada awal abad ke-16,Castiglione (Il Cortegiano) mengemukakan wawasannya akan lelaki dan wanita yang diidamkan, manakala Machiavelli memandang kritis "la verita effetuale delle cose"—kebenaran sebenar tentang perkara—dalam Si Putera, yang dikarang dengan gaya humanisme, terutamanya contoh-contoh Virtù kuno dan moden yang selari. Seni lukis Zaman Pembaharuan Itali meninggalkan pengaruh yang dominan dalm lukisan Eropah yang menyusulinya berabad-abad kemudian (rujuk Seni lukis Barat), dengan tokoh-tokoh seni seperti Giotto di Bondone, Masaccio, Piero della Francesca, Domenico Ghirlandaio, Perugino, Michelangelo, Raphael, Botticelli, Leonardo da Vinci, dan Titian. Begitu juga dengan seni bina yang diamalkan oleh Brunelleschi, Leone Alberti, Andrea Palladio, dan Bramante. Hasil kerja mereka termasuk Gereja Besar Florence, Basilika St. Peter di Rom, dan Tempio Malatestiano di Rimini (antara lainnya, tidak lupa juga banyak kediaman persendirian yang tersergam). Akhirnya, Percetakan Aldine yang diasaskan oleh Aldo Manuzio dan bergiat di Venice, membangunkan taip Condong (italik) dan buku cetakan yang kecil, ringan, murah dan boleh dibawa dalam poket pun, di samping juga menjadi yang pertama untuk menerbitkan buku dalam bahasa Yunani Kuno.